Pengibaran bendera besar NBD semarakkan Sambutan Hari Keputeraan





Oleh : Nooratini Haji Abas / Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid





BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 1 Julai. - Upacara Pengibaran Bendera Besar Negara Brunei Darussalam Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-80 bagi Tahun 2026 diadakan pagi tadi di Kawasan Lapang, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, di ibu negara.


Upacara penerimaan dan penyerahan Bendera Besar Negara Brunei Darussalam berukuran 3.7m x 7.5m disempurnakan oleh Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia, dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, selaku tetamu kehormat majlis.


Selepas itu diikuti dengan penaikan dan pengibaran bendera dan kemudian seterusnya dengan penyerahan Bendera Negara Brunei Darussalam berukuran 2.5m x 1.2m dan Poster-poster Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-80 bagi Tahun 2026 kepada Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Pemangku Pegawai Daerah Belait, Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Pemangku Pegawai Daerah Temburong serta diikuti penyerahan poster-poster kepada wakil-wakil kementerian-kementerian.


Upacara Pengibaran Bendera Negara Brunei Darussalam di daerah-daerah juga telah diadakan dan diteruskan dengan penyerahan Bendera Negara Brunei Darussalam kepada penghulu-penghulu mukim di daerah masing-masing pada sebelah petang.


Dengan berkibarnya Bendera Besar Negara Brunei Darussalam ini menandakan bermulanya pengibaran bendera peribadi masing-masing bagi Pengiran-Pengiran dan mereka yang dikurniakan gelaran; dan bendera Negara Brunei Darussalam bagi orang ramai termasuk di bangunan-bangunan dan premis-premis perniagaan.


06 (3).jpg


07 (3).jpg



Close